Covid-19 : Hidup Bersama Virus

Covid-19 : Hidup Bersama Virus

Selepas hampir dua tahun mendepani penularannya,  negara kita dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober ini apabila  80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

Endemik merujuk kepada kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat.

Penyakit ini dijangka sentiasa ada kes pada kadar yang stabil serta rendah. Contoh lain, denggi  adalah penyakit endemik di negara ini.

Malah, penyakit malaria yang menyerang kawasan-kawasan di benua Afrika satu ketika dulu umpamanya antara endemik yang mengancam dunia.

Tiga negara di dunia yang merekodkan penyakit  endemik paling tinggi ialah Republik Congo, Madagascar dan Peru.

Memetik kenyataan  Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin,  peralihan pandemik kepada endamik di negara ini perlu disusuli dengan langkah-langkah untuk ‘hidup bersama virus’ ini.

“Kita harus menerima hakikat bahawa sekali pun kita berjaya mengawal pandemik ini, akan tiba masanya nanti Covid-19 menjadi endemik dan kita mesti mengambil langkah untuk hidup bersama virus  ini.

“Dengan adanya vaksinasi, usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) dan usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang berterusan, maka kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus Covid-19,” katanya ketika  sidang media perkembangan Covid-19 negara ini di Putrajaya, baru-baru ini.

Konsep ‘hidup bersama virus’ tidak bermakna kita sudah boleh menarik nafas lega sebaliknya ia memerlukan kerjasama, kepekaan dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Setiap orang perlu ingat bahawa Covid-19 belum lenyap sepenuhnya selain  sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Kehidupan tidak akan kembali kepada keadaan biasa sebelum berlakunya penularan Covid-19.

Persediaan ‘hidup bersama virus’ bermakna kita  perlu  mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk kelangsungan hidup seterusnya.

Perubahan dalam cara hidup bukan lagi satu pilihan sebaliknya keperluan. Teruskan mengamalkan  norma baharu dengan mematuhi  SOP bagi mencegah penularan Covid-19.

Pemakaian  pelitup  muka (pemakaian berganda amat digalakkan) di kawasan awam tertutup, menjaga penjarakan fizikal dan semestinya perlu menitik beratkan aspek kebersihan dengan penggunaan pensanitasi tangan sebagai rutin.

Pada masa sama, anda perlu mendaftarkan diri dan keluarga (bagi yang layak menerima vaksinasi) untuk segera mendapatkan  temu janji vaksinasi Covid-19.

Vaksin mengandungi antigen yang berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh dan membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sekiranya  dikenal pasti sebagai kontak kasual, individu bawah pengawasan (PUS), kes suspek atau kes yang disahkan.

Kuarantin kendiri juga perlu dilakukan selepas menjalani saringan Covid-19 sehingga keputusan diperoleh atau menjadi kontak rapat dan masih menunggu panggilan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Begitu juga situasinya jika anda dikesan positif Covid-19 dan sedang menunggu panggilan PKD melainkan perlu rawatan kecemasan, kuarantin kendiri harus dilakukan.

Di samping itu, amalkan pemantauan kendiri di rumah melalui Kit Penilaian Kediaman (HAT) sebelum mendapat arahan selanjutnya daripada PKD dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Ahli keluarga atau rakan serumah perlu prihatin dan peka keadaan kesihatan pesakit Covid-19 sepanjang kuarantin di rumah.

Manfaatkan teknologi komunikasi bagi memantau kesihatan ahli keluarga atau rakan yang sedang kuarantin di rumah.

Individu didapati Covid-19 perlu segera menjalani pemeriksaan jika mengalami demam berpanjangan,  sukar bernafas,  sakit dada, tiada selera makan dan minum, kelesuan bertambah teruk, perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar  dan kekeliruan, batuk, muntah dan cirit-birit yang semakin teruk,  kurang kencing,  bibir atau jari kebiruan dan ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus.

Mereka yang bergejala diminta segera menghubungi CAC atau talian 999 untuk kecemasan.

Meneruskan ‘hidup  bersama virus’ menjadikan budaya bekerja dari rumah sebagai rutin biasa baik sektor awam mahupun swasta. Ia dilihat sebagai  cara kerja masa hadapan yang amat signifikan dan memenuhi keperluan dunia pekerjaan.

Sektor ekonomi juga antara segmen yang cukup terjejas dek penularan Covid-19.

Peniaga kecil terutamanya daripada kalangan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah golongan yang sangat terkesan dan hilang punca pendapatan secara total.

Jadi, cara berniaga turut berubah daripada kaedah tradisional kepada norma baharu iaitu perniagaan dalam talian. Norma baharu ini tentunya berterusan biar pun dalam fasa ‘hidup bersama virus.’

Serangan Covid-19 turut menyebabkan sektor pendidikan negara juga menerima kesan langsung. Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)  misalnya menerima perubahan yang cukup drastik apabila guru dan murid  berinteraksi secara maya melalui pelbagai platform digital.

Ia bukan lagi janggal dan pastinya menjadi rutin biasa sebaik ‘hidup bersama virus’ dijalani.

Tiada yang menafikan bahawa ‘hidup bersama virus’ juga menuntut kita untuk lebih berhemah dan mencorak perbelanjaan mengikut keperluan, bukannya kehendak.

Ingatlah,  risiko penularan Covid-19 tinggi apabila situasi 3S bergabung. Ia membabitkan situasi sesak dengan orang ramai, ruang sempit, tertutup dengan sistem pengudaraan yang tidak baik dan bersembang pada jarak yang dekat.

Ayuh kita terus berganding bahu sepenuhnya bersama memerangi Covid-19. Kita mesti menang!

Posted in Bahasa Melayu, Karangan | Leave a comment

Usaha-Usaha Yang Boleh Dilakukan Oleh Kerajaan Negara Kita Untuk Menangani Pandemik Covid-19

Usaha-Usaha Yang Boleh Dilakukan Oleh Kerajaan Negara Kita Untuk Menangani Pandemik Covid-19

(1) Usaha kerajaan : Langkah pencegahan dan kawalan

– Pada 16 Mac 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344), iaitu mulai berkuatkuasa pada 18 Mac 2020.

– Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

– Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

– Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

– menggembleng tenaga polis, tentera dan pasukan keselamatan lain

Kesan

– harus dipuji kerana mampu mengawal pergerakan orang awam

– menghindari wabak COVID-19 daripada merebak.

– meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan      

.             

(2) – Tindakan drastik mengehadkan pergerakan orang ramai serta menutup pintu masuk negara untuk mengelakkan jangkitan dibawa masuk ke dalam negara ini.

 – KKM menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 pada setiap masa. Terus amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:

  • Elakkan 3S / 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – face mask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elak bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
  • Ingatlah kepada S.O.P,

iaitu:

• S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah PKPB;

• O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;

• P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

– KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Kesan

– mengekang penularan wabak COVID-19

– memberi ruang kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam, makmal, klinik kesihatan dan hospital -meratakan lengkung (flatten the curve) graf kes COVID19.

– masyarakat dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama keluarga.

– Ibu bapa boleh menjadi kreatif dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anak seperti membersihkan rumah, bertukang, memasak, berkebun dan bersukan yang bersifat dalaman dan tidak perlu keluar rumah.

– tahap kebersihan meningkat

.

(3) Dalam tempoh PKP, KKM juga telah meningkatkan pendekatan agresif di lapangan untuk terus mengesan, menguji, mengasingkan, merawat kes-kes COVID-19 di hospital.

– Kawalan dilakukan seperti melakukan pemeriksaan dan saringan kepada kontak rapat dengan pesakit. Kuarantin diri

sekiranya anda baru pulang daripada mana-mana negara terutamanya China, Korea Selatan, Itali, Jepun dan Iran, anda dinasihatkan untuk melaporkan kepada pusat kesihatan dan melakukan kuarantin diri selama 14 hari berturut-turut.

– ke klinik atau hospital terdekat sekiranya anda mendapat gejala seperti batuk, demam, selsema, sakit tekak dan kesukaran untuk bernafas.

Kesan

– sejak PKP dikuatkuasakan, negara telah mempunyai kebolehan menjalankan 36,812 ujian makmal RTPCR (enam kali ganda berbanding sebelum PKP). KKM juga masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk COVID-19. Walaupun terdapat 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit COVID-19, kini  telah mula digunakan untuk pesakit-pesakit kes lain.

– Jumlah kes aktif kini telah menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan. Kejayaan meratakan lengkung graf kes COVID-19 dan juga mengurangkan penularan kes COVID-19 di dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat.

.

(4) AKTA 342 Seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) pada 5 Mei 2020, Kerajaan telah menubuhkan satu pasukan Task Force Operasi Pematuhan.

– Pasukan ini melibatkan 14 buah agensi bagi pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara. Antara agensi yang terlibat dalam pasukan ini adalah seperti berikut:

1. Polis Diraja Malaysia (PDRM)

2. Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

3. Angkatan Pertahanan Awam (APM)

4. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

5. Jabatan Tenaga Kerja

6. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

7. Jabatan Kerja Raya (JKR)

8. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

9. Jabatan Imigresen Malaysia

10. Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi a. Industri BioBahan Api Malaysia b. Lembaga Minyak Sawit Malaysia c. Lembaga Getah Malaysia d. Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia

11. Kementerian Pendidikan Malaysia

12. Pengarah Hospital

13. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)

14. Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak

Semua agensi dalam pasukan ini diberi kuasa untuk menyampaikan nasihat, amaran dan sekiranya perlu boleh mengambil tindakan ke atas individu, syarikat atau industri yang didapati gagal mematuhi SOP.

Kesan

– membantu memutuskan rantaian Covid-19

– meningkatkan tahap kecekapan agensi terbabit

.

(5) Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) – tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Di bawah akta ini, mereka yang didapati gagal mematuhi SOP boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Akta ini digunapakai dalam pelbagai aspek pencegahan dan pengawalan wabak COVID-19 di Malaysia.

Salah satunya adalah dalam pengurusan individu di bawah pengawasan (survelan). Pengawasan pergerakan ini dikenakan ke atas:

• Individu dengan gejala jangkitan saluran pernafasan yang mempunyai sejarah melawat atau menetap di negara yang terbabit, namun tidak dimasukkan ke wad; dan

• Individu yang merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19. Individu dalam golongan ini akan menjalani Home Surveillance Order (HSO) selama 14 hari berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh KKM. Mereka yang gagal mematuhi perintah pengawasan ini boleh dikenakan tindakan.

Kesan

– menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk berdisiplin dan mematuhi arahan

– membantu pihak kerajaan mendidik masyarakat

.

Posted in Bahasa Melayu, Karangan | Leave a comment

Peranan Ibu Bapa Dalam Mengawal Penggunaan Telefon Pintar Dalam Kalangan Remaja

Tajuk : Peranan Ibu Bapa Dalam Mengawal Penggunaan Telefon Pintar Dalam Kalangan Remaja. 

Pada zaman pascakemerdekaan ini, penggunaan telefon pintar dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja semakin berleluasa dari hari ke hari selari dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi di negara kita bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Pada perspektif saya, telefon pintar merupakan suatu teknologi yang berharga dan harus digunakan dengan sebaiknya agar kita dapat menikmati maslahatnya yang sebenar.Namun, pada hari ini sering kali timbulnya isu telefon pintar menjejaskan prestasi remaja dalam pelajaran dan mengabaikan tugasan seharian. Berdasarkan kajian Kementerian Pembangunan Keluarga dan Wanita, masalah penggunaan telefon pintar ini berpunca daripada kurangnya perhatian daripada ibu bapa menyebabkan anak-anak mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak mahupun pelajar.Dalam konteks ini,anak-anak menghabiskan masa yang lama dengan  bermain atau mengakses telefon pintar.Oleh yang demikian,pihak ibu bapa haruslah memainkan peranan yang drastik untuk mengawal penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak mereka supaya tidak mendatangkan implikasi negatif kepada remaja.Persoalan yang sering berlegar-legar di gawang pemikiran kita ialah bagaimanakah peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak?

Pada hemat saya, antara peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak mereka adalah dengan mengehadkan waktu penggunaan telefon pintar. Hal ini dikatakan demikian kerana, dengan mengehadkan penggunaan telefon pintar, sudah pasti anak-anak akan mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang lebih berfaedah kerana masa itu emas. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh mengehadkan waktu anak-anak menggunakan telefon pintar tiga jam sehari. Kesannya, anak-anak akan patuh kepada arahan ibu bapa mereka dan mencuba untuk menggunakan peluang bermain telefon pintar dengan sebaiknya. Anak-anak akan lebih menghargai penggunaan telefon pintar dengan hanya menggunakannya untuk mencari rujukan dalam internet tentang pelajaran di sekolah. Oleh yang demikian,telefon pintar akan memberikan impak yang positif kepada anak-anak dan ibu bapa kerana tidak perlu menggunakan dana membeli buku rujukan sebaliknya hanya mencari di hujung jari. Konklusinya,jelaslah bahawa dengan mengehadkan waktu penggunaan telefon pintar,prestasi anak-anak dalam pelajaran akan meningkat.

Beralih kepada perspektif yang lain pula, ibu bapa juga haruslah mengawasi anak-anak semasa menggunakan telefon pintar.Hal ini dikatakan demikian kerana,remaja pada hari ini yang mengalami proses peralihan zaman kanak-kanak ke zaman remaja sudah berani membuka laman-laman sesawang yang berunsur negatif. Sebagai contohnya,ibu bapa seyogianya menyekat laman-laman sesawang lucah dalam telefon anak-anak agar minda mereka tidak tercemar dengan kemungkaran dan maksiat. Ibu bapa tidak boleh memandang enteng tentang perkara perkara ini kerana remaja sangat mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan akan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian seperti mencuri,membuli dan merompak kerana orang tua-tua ada berpesan, mencegah lebih baik daripada mengubati. Mereka perlulah sentiasa mengawasi penggunaan telefon pintar anak-anak pada setiap masa sebelum nasi menjadi bubur. Kesannya, anak-anak  dilengkapi dengan rohani, jasmani, emosi yang mantap dan sahsiah diri yang cemerlang dapat dibentuk. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak amat penting dalam memastikan mereka tidak menyalahgunakan teknologi yang ada dalam menjadikan diri mereka lebih dewasa dan berakhlak mulia.

Jika ditinjau dari aspek yang berbeza, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, agama dapat mengelakkan diri anak-anak daripada terlibat dalam perkara negatif yang terkandung dalam telefon pintar. Anak-anak yang mempunyai pegangan agama yang kukuh dapat mengawal diri mereka daripada terlibat dalam penyalahgunaan telefon pintar.Sekiranya mereka tidak mempunyai keimanan yang kukuh sudah pasti mereka akan terlibat dalam melayari laman-laman porno dan menghubungi rakan-rakan yang berlainan jantina tanpa menjaga batas-batas pergaulan. Memetik kata-kata daripada Dr Fadzilah Kamsah, pakar motivasi negara “Agama ialah pegangan hidup,seseorang yang hidup tanpa agama diibaratkan seperti hidup tanpa tujuan”. Jelaslah bahawa, ibu bapa haruslah memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang boleh mengundang mereka dalam masalah kebobrokan sosial pada hari ini.

Sementelahan itu, ibu bapa juga haruslah menasihati anak-anak untuk menggunakan telefon pintar secara bijak. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak-anak mereka yang masih setahun jagung tidak mengetahui cara menggunakan telefon pintar dengan baik. Sesetengah daripada mereka juga masih tidak dapat membezakan antara perkara yang baik ataupun buruk. Sebagai contohnya, ibu bapa haruslah menasihati anak-anak supaya menggunakan telefon pintar yang diberikan ke arah kebaikan seperti penggunaan dalam memudahkan proses pembelajaran di sekolah. Misalnya, anak-anak boleh menggunakan telefon pintar itu bagi tujuan menggunakan laman Frog VLE dan program i-Tutor dalam memudahkan pembelajaran mereka.Sekiranya mereka tidak mendidik anak-anak sejak kecil lagi sudah pasti mereka akan banyak terpengaruh dengan perkara-perkara yang merugikan mereka kerana pepatah ada menyebut, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh yang demikian,ibu bapa sepatutnya membentuk jati diri yang mantap dan sahsiah diri yang unggul dalam diri anak-anak kerana anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan mereka. Memang tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak akan menggunakan telefon pintar dengan bijak jika ibu bapa memberikan mereka nasihat yang baik.

Konklusinya, kita dapat lihat bahawa terdapat banyak peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengawal penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak mereka. Ibu bapa merupakan cerucuk utama dalam sesebuah institusi keluarga dalam membentuk budaya kehidupan yang positif dan tidak boleh bersikap seperi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing untuk mendidik anak-anak menjadi modal insan yang cemerlang dan berakhlak mulia. Sewajarnya ibu bapa perlu saling memainkan obligasi mereka secara holistik dalam pelbagai aspek agar anak-anak mereka tidak menyalahgunakan kemudahan dan keselesaan yang diberikan kepada mereka kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah Arab ada mengatakan “mengharapkan kejayaan tanpa adanya usaha diibaratkan seperti mengharapkan kapal berlayar di atas daratan”.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Cerpen

Soalan Peperiksaan :

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sayup mata memandang. Tenang hati Alif ketika menyeluruhi peta kemas di hadapannya. Suara abah acap kedengaran di cuping telinga. Wajah tenang abah terasa-rasa mesra di penjuru mata. Ya, abah tidak lama lagi kita akan menuai emas, hatinya berbisik.

Kesyukuran terjarum menusuk hati. Ini ganjaran daripada sebuah kesabaran. Ini imbuhan daripada sebuah keredaan. Datang pula suara emak melantun-lantun di telinga. Terima kasih yang tidak terkimah, emak, selalu mendidik anakmu ini makna syukur, sabar dan reda.

Alif tersentak ketika gegendangnya ditujah bunyi hon singkat tetapi keras. Sebuah motosikal hamper melanggarnya. Dia berundur selangkah seraya mengelopak senyuman apabila bersabung pandang dengan sipenunggang motosikal.

(Dipetik daripada Menuai Emas, antologi “Baik Budi Indah Bahasa”,
Tingkatan 2, Arah Pendidikan Sdn Bhd)

(i) Nilai-nilai murni sangat penting pada seseorang insan. Berikan nilai yang boleh dicontohi berdasarkan petikan cerpen tersebut.
[3 markah]

(ii) Berdasarkan cerpen Menuai Emas, nyatakan dua perwatakan Alif.  [3 Markah]

(iii) Setiap murid disarankan agar berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menggapai impian.
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan positif jika kita Berjaya menggapai impian tersebut?  [4 markah]

Skema Jawapan :

i) Nilai- nilai murni. [ 3 markah ]

– Bersyukur, sabar, reda, berterima kasih
*Isi cukup : 2 daripada isi di atas

ii) Dua perwatakan Alif [ 3markah ]

– Seorang anak muda yang berwawasan tinggi
– Berani menghadapi cabaran serta yakin akan kebolehan diri sendiri
– Seorang anak yang menghormati ibu bapa
*Isi cukup : 2 daripada isi di atas

iii) Kesan-kesan positif jika kita Berjaya menggapai impian
[ 4 markah ]

– Boleh menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa.
– Menggubah nasib seseorang kea rah yang lebih baik.
– Dipandang mulia oleh ibu bapa.
*Isi cukup : 2 daripada isi di atas atau isi-isi lain yang relevan

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Bentuk dan Ciri-ciri Syair (Syair Tingkatan 1)

Syair Pohon Buluh: Bentuk dan Ciri-ciri Syair (Syair Tingkatan 1)

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

Bentuknya terikat.

Terdiri daripada empat rangkap.

Berisi empat baris serangkap.

Bilangan katanya empat hingga lima patah kata sebaris.

Terdiri daripada lapan hingga dua belas suku kata sebaris.

Rima akhir bagi setiap rangkap adalah sama, iaitu aaaa.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Tema dan Persoalan (Syair Tingkatan 1)

Syair Pohon Buluh: Tema dan Persoalan (Syair Tingkatan 1)

Tema

Perpaduan atau keutuhan hidup bersatu.

Persoalan

Pihak berwajib melaksanakan tugas dengan adil dan saksama kepada semua pihak.

Anggota masyarakat yang hidup bersaudara.

Anggota masyarakat berkongsi matlamat secara bersama-sama dan berusaha untuk mencapainya secara bersama-sama.

Pangkat tidak membezakan seseorang dalam masyarakat.

Kekukuhan perpaduan hidup masyarakat membawa kejayaan dan berjaya menempuh segala cabaran dan dugaan yang hebat.

Anggota masyarakat tanpa mengira besar atau kecil dan tua atau muda hidup dengan bersatu padu.

Anggota masyarakat bersama-sama bertanggungjawab menjaga nama baik.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Maksud (Syair Tingkatan 1)

Syair Pohon Buluh: Maksud (Syair Tingkatan 1)

Maksud

Rangkap 1

Pihak berkuasa menjalankan tugas dengan adil dan saksama tanpa mengira pangkat dan darjat.

Rangkap 2

Kehidupan mereka yang bersaudara dan orang kaya yang sedia menghulurkan bantuan kepada orang lain.

Rangkap 3

Golongan tua dan muda bergandingan dan bersama-sama dalam memperkukuh perpaduan masyarakat.

Rangkap 4

Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab menjaga imej dan keamanan daripada gangguan pihak luar.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Sinopsis Bab 3, 4 (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Sinopsis Bab 3, 4 (Novel Tingkatan 3)

Bab 3: Aku Bukan Ustaz

– Haji Marzuki dan Mas Suparman sedang melatih Bernard dan Kam Heng. Haji Marzuki bertanya kepada Syahir tentang persediaannya ke Kejohanan Terbuka Johor.

– Syahir amat tidak berpuas hati kerana menganggap tidak ada gunanya mata yang dikutip dalam kejohanan-kejohanan terbuka antarabangsa jika ranking dunia BWF masih tidak digunakan untuk menentukan wakil negara ke kejohanan di Jakarta.

– Haji Marzuki bersetuju dengan pendapat Syahir kerana itu adalah kelemahan pihak atasan. Hal ini demikian kerana jika mengikut ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa, Syahir, Kam Heng, dan Bernard sudah layak bertanding secara automatik. Namun keputusan PBSM telah menyebabkan mereka terpaksa bersaing antara satu dengan yang lain.

– Haji Marzuki menasihati Syahir agar bertenang, bersikap rasional, dan tidak mengambil keputusan dengan terburu-buru.

– Syahir dan Wan Najhan singgah di Restoran 48 Jam. Mereka dikejutkan dengan kehadiran Wan Najlah yang datang untuk membeli nasi ayam.

– Wan Najlah telah mengusik Syahir dengan meminta autografnya kerana nama dan wajah Syahir tersiar dalam Mingguan Riadah dengan tajuk “Ustaz Syahir Tetap akan Pertahan Syariat dalam Bersukan”.

Bab 4: Meneka Resah di Wajahmu

– Syahir membelek-belek Mingguan Riadah yang memaparkan cerita tentang dirinya. Dalam wawancara itu, Syahir mengimbas kembali sahsiahnya yang memakai seluar ketat panjang yang menutup aurat.

– Syahir pernah mencetuskan kontroversi apabila membawa imej soleh. Dalam wawancara itu juga, Syahir mahu bergelar juara dunia dan memenangi pingat emas dalam Sukan Antara Benua. Dia juga digelar ‘ustaz’ kerana penampilannya.

– Namun begitu, bagi Syahir itu adalah amanat arwah ayahnya agar menjunjung syariat agama. Ada yang menganggapnya ‘kepala batu dari hulu’ tetapi diabaikannya.

– Wan Najlah juga pernah mengajukan persoalan yang sama tetapi dia tidak kisah asalkan dapat melaksanakan perintah Islam.

– Perasaan bersalah terhadap Wan Najlah menggamitnya untuk menelefon gadis itu tetapi niatnya terbantut apabila melihat jam sudah menghampiri tengah malam.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Sinopsis Bab 1, 2 (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Sinopsis Bab 1, 2 (Novel Tingkatan 3)

Bab 1: Ranjau Masih Berliku

– Syahir berada di luar dewan dan sedang ditemu ramah oleh rakan baiknya yang juga seorang wartawan, iaitu Azmie.

– Syahir mengharapkan agar kawannya itu tidak menulis sesuatu yang bukan-bukan. Syahir berasa amat risau kerana seboleh-bolehnya masalah yang sedia ada tidak bertambah dan berlarutan.

– Setelah ditemu ramah, Syahir masuk ke dalam dewan dan terpandang tiga orang lelaki yang berdiri di tepi gelanggang di tengah-tengah dewan sambil dikelilingi oleh sepuluh orang yang lain.

– Syahir bertanya kepada Boon Lee mengenai perjumpaan itu namun tidak dijawab, sebaliknya Boon Lee bertanya sebab dia lewat masuk.

– Boon Lee menjelaskan bahawa mereka terpaksa menyertai Kejohanan Terbuka Johor kerana prestasi pemain bukannya diukur dari segi ranking dunia tetapi dari segi prestasi semasa dan itu adalah kehendak pihak atasan PBSM.

– Keputusan itu sama sekali bertentangan dengan kenyataan Engku Aiman dalam akhbar perdana pada minggu lepas.

– Alasan Engku Imran berbuat demikian adalah kerana bimbang peristiwa yang berlaku di Birmingham dan Tokyo berulang sekali lagi.

– Syahir tidak bersetuju dan berasa kecewa dengan keputusan itu yang dianggapnya sebagai pilih kasih. Dia terpaksa bersaing dengan teman-teman senegaranya sebelum menyertai kejohanan di Jakarta.

– Engku Aiman menyindir Syahir yang dikatakan seperti artis sehingga ramai wartawan mencarinya sambil menyindirnya bahawa ranking dunia tidak menjamin prestasi semasa seperti yang terjadi di kejohanan Piala Liga dan Piala Antarabangsa dahulu.

– Kata-kata itu amat menyakiti hati Syahir. Syahir akur lalu memohon diri sambil sempat melihat senyuman sinis daripada bibir Syed Amiri.

Bab 2: Tidak Seindah Mimpi

– Kak Uda Syahrizah bertanya tentang keberangkatan Syahir ke Jakarta kerana dia ada terbaca bahawa nama adiknya itu ada tersenarai sebagai pemain yang terpilih ke kejohanan dunia.

– Namun, Syahir menerangkan bahawa ada perubahan drastik, iaitu dia mesti memenangi kejohanan Terbuka Johor pada hujung minggu depan sebelum terpilih ke Jakarta.

– Syahir pernah menolak tawaran menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia dan memilih untuk melanjutkan pengajian di UPM kerana lebih dekat dengan pusat latihan. Emak Syahir bertanya mengenai pengajian Syahir di UPM yang tertunda.

– Emak Syahir mengingatkan dia agar sentiasa mengutamakan kejayaan dalam pelajaran di samping bidang sukan yang diceburinya. Syahir berjanji akan mengharumkan nama negara dan itulah janjinya kepada arwah ayahnya.

– Syahir menatap potret keluarganya sambil mengimbas kembali kemarahan ayahnya apabila dia menjadi johan negeri kategori perseorangan bawah lima belas tahun ketika di tingkatan tiga.

– Ayahnya telah mematahkan raket dan menghempas piala kemenangannya kerana mahu mengendurkan semangatnya. Namun, keputusan PMR Syahir yang cemerlang telah memadamkan kemarahan ayahnya.

– Setahun kemudian, dia telah menjuarai kategori perseorangan bawah lapan belas tahun sekali gus bergelar juara remaja kebangsaan.

– Dia pernah menolak tawaran ke sekolah berasrama penuh di utara semata-mata kerana mahu kekal di sekolah lama untuk mengasah bakat dan kemahirannya di bawah bimbingan Cikgu Kamaludin.

– Ketika ayahnya menjalani rawatan kemoterapi untuk melawan barah prostat tahap tiga, ayahnya telah merestui impiannya dan berpesan supaya Syahir memberikan sumbangan kepada bangsa dan agama serta memelihara syariat agama semasa bersukan.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Sinopsis Keseluruhan (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Sinopsis Keseluruhan (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring mengisahkan perjalanan hidup seorang pemain badminton skuad kebangsaan bernama Syahir. Dia merupakan pemain yang bercita-cita tinggi dan dapat mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Namun, dia menghadapi rintangan untuk merealisasikan matlamatnya itu apabila pihak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) telah membuat keputusan mengejut, iaitu semua pemain perlu menyertai Kejohanan Terbuka Johor sebelum layak mewakili negara ke Jakarta. Hal ini bertentangan dengan peraturan sedia ada sebelum ini, iaitu pemain yang mewakili negara akan ditentukan berdasarkan ranking dunia. Oleh itu, para pemain akan bersaing sesama sendiri bagi melayakkan diri ke Jakarta nanti. Keputusan pihak PBSM ini bertentangan dengan kenyataan Engku Aiman dalam laporan akhbar perdana pada minggu lepas. Beliau tidak mahu peristiwa di Birmingham dan di Tokyo berulang sekali lagi.

Haji Marzuki dan Mas Suparman adalah antara jurulatih yang banyak terlibat dalam melatih para pemain skuad kebangsaan. Haji Marzuki banyak memahami masalah yang terpaksa dihadapi oleh Syahir. Jurulatih ini telah banyak memberikan kata-kata perangsang kepada Syahir agar dia terus bersemangat untuk berlatih dan berjaya mewakili negara. Walaupun Haji Marzuki tidak bersetuju dengan keputusan pihak PBSM yang mengamalkan sikap pilih kasih, tetapi dia masih yakin para pemainnya seperti Syahir, Bernard, Gopinath, Kam Heng, dan Wan Najlan dapat menerima hakikat tersebut dengan tenang, rasional, dan tidak mengambil keputusan yang terburu-buru.

Syed Amiri merupakan rakan Syahir dalam skuad kebangsaan yang sering menyindir Syahir dengan gelaran ‘ustaz selebriti’. Panggilan itu kurang disenangi oleh Syahir tetapi dia tetap tabah menerima hakikat tersebut. Pada masa yang sama, Syed Amiri sering memandang rendah terhadap keupayaan Syahir untuk melayakkan diri ke Jakarta. Mujurlah Haji Marzuki selalu menenangkan Syahir agar sentiasa berpandangan positif kerana dia yakin Syahir memiliki kelebihan yang jarang-jarang dimiliki oleh pemain lain.

Tindakan   Engku   Aiman   mengungkit    kekalahannya

kepada   pemain    China   suatu   masa    dahulu   di   hadapan

teman-teman selatihan dan pengurus pasukan negara, Dr.

Asyraf terang-terangan menzahirkan sikapnya yang sebenar

terhadap Syahir. Engku Aiman kerap memuji Syed Amiri yang

disifatkan  paling  meningkat  kebelakangan  itu  berbanding

dengan pemain-pemain lain. Semasa pulang ke rumahnya

di Bandar Baru Bangi, Syahir sempat menemani

emaknya ke pasar malam untuk membeli juadah berbuka

puasa.  Pada  malam  itu,  keadaan  menjadi  cemas  apabila

Syahir mendapati emaknya terbaring lemah dalam keadaan

masih bertelekung di atas katil.

Pemergian Syahir ke Johor penuh dengan cabaran. Dia sentiasa terfikir akan kesihatan emaknya, namun mujur ada Kak Uda yang memberikan jaminan bahawa emaknya cuma lemah sedikit dan tidak perlu dirisaukan. Haji Marzuki pula tidak dapat bersama-sama pergi ke Johor kerana belum pulih daripada demam selesema. Pada masa itu juga Syahir telah dikejutkan dengan tersiarnya gambar dia bersama-sama dengan Ratna yang dikatakan ada hubungan istimewa dengannya. Syahir terkejut kerana pada masa itu, mereka bergambar beramai-ramai dan bukannya berdua.

Pada peringkat suku akhir, Syahir telah bertemu dengan Syed Amiri. Pada masa itu, dia mendapat tentangan yang cukup hebat daripada Syed Amiri di samping sorakan penyokong Syed Amiri yang hebat kerana Syed Amiri ialah pemain dari negeri itu. Dalam perlawanan itu, beberapa keputusan pengadil perlawanan lebih berpihak kepada Syed Amiri menyebabkan Syahir berasa tertekan dan tidak boleh mengawal permainannya. Akhirnya, Syahir tewas di tangan Syed Amiri dan dia gagal mewakili negara ke Jakarta.

Syahir dibenarkan pulang ke rumah. Emaknya meminta dia menemaninya untuk pergi ke rumah Mak Usu Sapiah di Seremban. Semasa di Seremban, Haji Marzuki menelefon Syahir lalu mengatakan bahawa Gopinath terlibat dalam kemalangan dan mengarahkan Syahir segera kembali ke kem latihan. Syahir dipilih untuk menggantikan Gopinath untuk bersaing di Jakarta. Syed Amiri menyindir Syahir dengan mengatakan bahawa Syahir perlu sujud syukur kerana dapat mewakili negara.

Sebelum pergi ke Jakarta, sekali lagi Syahir berhadapan dengan dugaan apabila, dia telah menerima berita tentang emaknya yang terlantar di hospital kerana menghidap strok. Hatinya berbelah bahagi sama ada hendak meneruskan hasrat ke Jakarta ataupun menjaga emaknya yang sakit. Pada masa yang sama, sakit pada bahagian perutnya semakin kerap terasa. Syahir melakukan solat hajat dan solat istikharah agar diberi petunjuk dalam membuat keputusan pada detik-detik getir itu. Kak Uda memberitahu bahawa emaknya sudah beransur pulih dan menasihatinya agar pergi ke Jakarta. Sebelum berangkat, Syahir sempat singgah di hospital untuk menjenguk emaknya.

Di Jakarta, Syahir dapat mengharungi cabaran pada peringkat awal apabila berjaya mengalahkan pemain dari Korea Selatan, iaitu Kim Joo Hyun. Seterusnya, dia menewaskan pemain muda dari China, Xiang Yimou. Menjelang tengah hari semua pemain diwajibkan menjalani ujian air kencing yang diadakan secara tiba-tiba. Pada peringkat ketiga, Syahir juga berjaya menundukkan Eddy Heryanto, pilihan ketiga belas yang juga pemain tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya mara ke peringkat akhir setelah berjaya menumpaskan pemain dari China. Syed Amiri yang dicanangkan sebagai juara itu telah kecundang pada peringkat separuh akhir.

Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba apabila Syahir berjaya melangkah ke peringkat akhir dan dijadualkan bertemu dengan pemain tuan rumah, iaitu Andri Mirnawan. Haji Marzuki dan Mas Suparman mempunyai perancangan tersendiri kerana mengakui memang sukar untuk menumpaskan pemain tuan rumah tersebut. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan Andri Mirnawan.

Semasa majlis penyampaian hadiah, Syahir hampir rebah lalu dikejarkan ke hospital. Dia telah disahkan menghidap radang apendiks dan dibedah di sana. Setelah pulang ke Malaysia, Syahir ke hospital untuk menemui emaknya. Kini, dia telah bergelar juara dunia dan berazam untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment